Allah lebih sayangi penumpang MH17 – Imam Besar Masjid Negara
Segala sesuatu yang berlaku adalah ketetapan Allah SWT, oleh itu waris mangsa MH17 diminta bersabar dengan ujian Allah dan menerima bahawasanya Allah lebih menyayangi para penumpang MH17 yang terlibat dengan tragedi menyayat hati itu.
Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang menyampaikan khutbah Jumaat khas sempena hari perkabungan negara bertajuk ‘Hakikat Luh Mahfuz’ berharap waris mangsa dapat menerima insiden yang menimpa keluarga mereka dengan hati yang terbuka.
“Kalau berlaku apa-apa, bukanlah seharusnya kita patut runsing kerana ini adalah ketetapan Allah SWT dan seharusnya kita kena terimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.
Syaikh Ismail berkata pengertian Luh Mahfuz itu sendiri bermaksud satu ketetapan Allah SWT yang tidak dapat diramal atau diduga oleh manusia.
Khutbah tersebut disampaikan di Masjid Putra sempena Hari Perkabungan Negara, memberi pengertian besar dalam kehidupan umat Islam yang wajib percaya bahawa setiap kejadian yang berlaku adalah ketetapan daripada Allah SWT.
“Sesungguhnya manusia tidak boleh lepas daripada Qada’ dan Qadar Allah SWT dan bagi kita umat Islam, kita kena percaya bahawa Qada dan Qadar Allah SWT sememangnya wujud. Malah, rezeki kita, mati kita semua ditentukan oleh Yang Maha Esa,” katanya.
Beliau turut mengimamkan solat jenazah ghaib di Masjid Putra itu.
Turut menunaikan solat ialah Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kira-kira 5,000 jemaah.
Kumpulan pertama 20 jenazah penumpang MH17 yang menjadi mangsa itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam pagi tadi sebelum diberi istiadat penghormatan tertinggi negara.
Daripada jumlah itu, 11 jenazah beragama Islam dan 9 lagi bukan beragama Islam.