Lebih 6,000 Perodua Axia sudah ditempah

Lebih 6,000 Perodua Axia sudah ditempah
Perodua Axia

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menerima lebih 6,000 tempahan bagi model terbaharunya, Perodua Axia, walaupun kenderaan tersebut masih belum dilancarkan secara rasmi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, meskipun hanya baru dibuka untuk tempahan pada 15 Ogos yang lalu, sambutan yang diberikan oleh orang ramai amat menggalakkan.

“Kita yakin jumlah tempahan akan meningkat lagi sehingga hari pelancaran iaitu dijangka pada bulan hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Inovasi Automotif dan Kenderaan Teknologi Hijau (AIGEV) di Kuantan, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.

Menurut Aminar, pihaknya amat teruja dengan jumlah tempahan daripada pelanggan walaupun mereka tidak melihat kereta yang sebenar.

“Namun kita tidak mempunyai sebarang sasaran jumlah tempahan sebaliknya hanya berharap lebih ramai yang tempah sebelum kereta ini dilancarkan.

“Saya tidak mahu sebut banyak sangat mengenai kereta ini tetapi apa yang saya boleh janjikan adalah satu kejutan kepada orang ramai,” katanya.

Perodua Axia dengan keupayaan enjin 1.0 liter merupakan kereta penanda aras baharu di dalam kualiti, versatil dan pengalaman pemanduan.

Axia didatangkan dengan penjimatan bahan api sehingga 21.6 kilometer (km) bagi setiap liter dan ditawarkan dengan fungsi unik di samping harga berpatutan.

Kereta tersebut yang dijual pada harga bermula RM24,900 sebuah boleh ditempah dengan bayaran sebanyak RM250 dan RM300 bergantung kepada varian di 180 bilik pameran jualan di seluruh negara. – Utusan Malaysia