Lebih 900 jemaah haji 2014 berlepas Rabu ini
Lebih 900 jemaah haji 2014, yang melibatkan tiga kumpulan pertama dijangka akan tiba di Madinah dalam tiga penerbangan secara berperingkat Rabu ini.
Penerbangan pertama yang membawa 413 bakal jemaah akan tiba jam 9 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz, dan dijangka tiba di hotel tersebut pada 11 pagi.
Penerbangan kedua dengan 261 jemaah haji akan tiba pada 12.50 tengah hari dan penerbangan ketiga dengan 269 jemaah haji pada 5.50 petang, kata Pengurus Maktab Zon Dua Tabung Haji di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, Mohamad Abas.
Beliau memberitahu, kesemua jemaah haji dari ketiga-tiga penerbangan itu akan menetap di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick yang dikenali sebagai Maktab Zon Dua sebelum bergerak ke Makkah pada 4 September.
Maktab Zon Satu pula di Hotel Al Haram yang terletak berhampiran dengan Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, dan kedua-dua hotel penginapan jemaah haji Malaysia ini terletak amat dekat dengan Masjid Nabawi, iaitu kira-kira 50 meter sahaja.