Pekerja restoran Bangi mangsa Pak Arab pukau
Pemilik restoran yogurt Tuitti Fruiti cawangan Seri Bangi mendakwa rugi RM850 selepas seorang pekerjanya dipercayai menjadi mangsa sindiket pasangan pak Arab pukau, Ahad lalu.
Azizun Abdul Karim, 59, berkata, kejadian pada pukul 7.45 malam itu berlaku ketika pekerjanya sedang bekerja sendirian dan menjadi juruwang di kaunter bayaran.
“Pekerja saya dikenali sebagai Zaim, 18, didatangi dua individu berbangsa Arab yang masuk secara berasingan. Suspek lelaki yang terlebih dahulu memasuki restoran menghala ke tandas sementara wanita tersebut sedang mengambil beberapa jenis yogurt.
“Apabila hendak membuat pembayaran, suspek lelaki mengeluarkan sejumlah wang dan mengatakan ingin membuat pertukaran wang namun pekerja saya tidak membenarkannya. Selepas itu, dia langsung tidak menyedari apa-apa termasuk ketika suspek mengambil wang daripada mesin wang tunai.”
Sindiket pak Arab pukau dipercayai menggunakan taktik dengan memandang anak mata dan bersalaman serta bercakap sesuatu kepada pekerja sebelum memukau.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bermula dari situ, pekerja saya dipukau dan apabila sedar, wang tunai jualan berkurangan dan cuba mengejar pasangan terbabit namun tiada di luar kedai.
“Selepas kejadian itu, pekerja terus menghubungi saya memaklumkan kejadian tersebut dan kami membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi,” katanya lagi.
Jelas Azizun, beberapa rakan perniagaannya turut melaporkan perkara yang sama iaitu dipukau oleh pasangan Arab yang adakalanya berpura-pura ingin membeli, membayar dan bertanyakan sesuatu.
“Saya percaya mereka ini ada rangkaian sindiket malah polis turut memaklumkan bukan restoran saya sahaja terkena perbuatan jenayah itu sebaliknya dalam bulan ini terdapat dua lagi premis menjadi mangsa pak Arab pukau di daerah ini.
“Beberapa cawangan di negeri lain juga turut menjadi mangsa sindiket pukau warga Arab ini jadi saya berharap pihak berkuasa dapat menangkap penjenayah ini segera dan orang ramai perlu berhati-hati dengan mereka ini,” ujarnya.