5 kilang makanan kotor diarah tutup segera
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan lima kilang makanan di Pulau Pinang ditutup mulai semalam kerana kerana gagal mematuhi peraturan kesihatan.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata antara kesalahan menjijikkan dikesan dalam operasi itu ialah najis tikus dibiar melekat pada guni tepung dan stok makanan mentah dilonggok di hadapan tandas.
“Premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi,” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.
Beliau berkata premis terlibat ialah kilang kicap, kilang mi, kilang roti, kilang bawang goreng dan kilang kerepek yang beroperasi di sekitar Jelutong, Kepala Batas dan Bukit Mertajam, dekat sini.
Sebanyak 16 premis diperiksa iaitu Daerah Timur Laut (dua), Barat Daya (tiga), Seberang Perai Utara (dua), Seberang Perai Tengah (lima) dan Seberang Perai Selatan (empat).
Ku Nafishah berkata terdapat juga kes pengusaha menggunakan peralatan mengadun dan menggoreng makanan yang berkarat selain dibiar melekit dipercayai tidak dibasuh secara berjadual.
Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan tiga notis saman berjumlah RM5,000 atas kesalahan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 2009 dan akan meneruskan operasi seumpama itu termasuk di kantin-kantin kilang di negeri ini.
Segelintir pengusaha sedar kesalahan mereka namun mengambil mudah perkara seumpama itu dan lebih cenderung mengambil sikap menunggu tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka, katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan berkenaan premis makanan kotor atau produk makanan rosak di negeri ini. – Sinar Harian/Bernama