Harga petrol Ron97 turun 10 sen
Harga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara turun 10 sen seliter kepada RM2.75 seliter berbanding RM2.85 seliter berkuat kuasa tengah malam Isnin.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Pengedar Petroleum (PDAM), Datuk Hashim Othman.
“Ya, memang berlaku penurunan sebanyak 10 sen. Ia diselaraskan mengikut harga pasaran dunia,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Bagaimanapun beliau berkata, penurunan tersebut tidak membabitkan petrol RON95 dan diesel.
“Harga kedua-dua petrol itu tidak berubah… kekal sama seperti sebelum ini,” katanya.
Minyak petrol RON95 dijual pada harga RM2.10 seliter, manakala diesel pada harga RM2 seliter.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman menyambut baik usaha kerajaan menurunkan harga petrol tersebut walaupun ianya hanya membabitkan sebilangan kecil pengguna.
“Kami amat mengalu-alukan langkah tersebut. Walaupun jumlah tersebut kecil, tapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban pemilik kenderaan yang menggunakan petrol berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, harga petrol RON97 berbeza dengan RON95 dan diesel kerana ia ditentukan mengikut harga pasaran dunia.
“Harga RON97 tidak menentu, ia dipengaruhi oleh pasaran dunia manakala RON95 dan diesel pula masih diberi subsidi serta dikawal kerajaan,” katanya.- mStar