Pencurian ikan di pasar besar Kuala Krai
Seorang peniaga ikan di Pasar Besar Kuala Krai bimbang masalah pencurian ikan berlarutan sejak kebelakangan ini.
Mangsa, Mat Idris, 60, berkata, setip kali ikan yang tidak habis dijual dia akan menyimpannya di dalam tong dan diletakkan di tempat berniaga sejak mula berniaga lagi.
Bagaimanapun, warga emas itu mendakwa, ikan itu kerap dicuri seorang lelaki berkereta yang difahamkan datang lewat petang setelah semua peniaga pulang.
“Peniaga ikan lain di pasar ini turut berbuat demikian. Namun, saya hairan kerana kecurian ini hanya melibatkan ikan milik saya dan juga anak yang turut berniaga di pasar berkenaan.
“Lebih menghairankan apabila ikan dicuri secara berselang seli antara ikan dalam simpanan saya dan milik anak saya,” katanya yang sudah berniaga lebih 30 tahun.
Mat berkata, dia buntu memikirkan masalah yang tidak berkesudahan itu memandangkan kejadian ikan dicuri itu menyebabkan dia berdepan kerugian sekitar RM200 setiap minggu.
Menurut laporan Sinar Harian, pencuri ikan itu tidak mengambil semua ikan sebaliknya memilih ikan tertentu untuk dibawa lari.
“Kebiasaannya ikan agak mahal seperti bawal, tenggiri juga udang kerap hilang. Pasar ini tidak ada pengawal keselamatan sejak dulu lagi, tetapi masalah pencurian ikan hanya berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya.
“Saya berharap agar pihak keselamatan mengadakan rondaan lebih kerap di sekitar pasar ini bagi mengelak masalah serupa berulang,” katanya.