Soalan Sains UPSR bocor, peperiksaan ditangguh
Kertas peperiksaan subjek Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan esok terpaksa ditangguh kerana didapati soalannya bocor.
Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan memaklumkan, tarikh baharu bagi peperiksaan kertas Sains 018, 028, 038 adalah pada 30 September 2014.
Berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.
“Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” menurut kenyataan itu seperti yang dilaporkan oleh mStar.
Kertas peperiksaan subjek Sains itu sepatutnya diduduki pelajar tahun enam pada jam 8.15 pagi sehingga 9.30 pagi, esok.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dalam twitter memohon maaf atas kejadian tersebut.
Saya memohon maaf kepada pelajar tahun 6 atas kebocoran kertas Sains #UPSR.
I am deeply sorry for d leakage of the #UPSR Science questions.— Idris Jusoh (@idrisjusoh) September 10, 2014