Yahudi ganggu majlis kahwin pengantin mualaf
Polis Israel semalam menghalang lebih 200 anggota puak Yahudi konservatif dari mengganggu majlis perkahwinan antara wanita berketurunan Yahudi serta lelaki Arab beragama Islam.
Kumpulan yang membuat tunjuk perasaan itu juga mengutuk pengantin perempuan, Maral Malka, 23, yang memeluk Islam sebelum mengahwini Mahmoud Mansour, 26, serta menganggapnya sebagai pengkhianat bangsa Yahudi.
Kumpulan Lehava yang menganjurkan bantahan tersebut dilapor kerap mengganggu pasangan Arab serta Yahudi sebelum ini serta lantang membantah sebarang perkahwinan campur melibatkan kaum Yahudi serta Arab.
Peguam kepada kedua-dua pasangan pengantin, gagal memperoleh perintah mahkamah bagi menghalang tunjuk perasaan, bagaimanapun berjaya mendapatkan bantuan polis bagi memastikan penunjuk perasaan berada dalam jarak 200 meter daripada dewan majlis perkahwinan.
Berpuluh-puluh anggota polis, termasuk anggota unit elit menyekat anggota Pertubuhan Pencegahan Asimilasi di Tanah Suci (Lehava) yang menganjurkan tunjuk perasaan sambil berteriak ‘Kematian bagi Arab’ dari memasuki pagar dewan di mana majlis perkahwinan berkenaan diadakan.
Polis juga menahan empat individu yang menceroboh kawasan tersebut.
Tidak ada kecederaan dilapor dalam insiden tersebut.