Laporan sahkan pesawat MH17 ditembak di udara

Laporan sahkan pesawat MH17 ditembak di udara
Bahagian badan pesawat MH17 yang berlubang dipercayai terkena serpihan pada kelajuan tinggi

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, disahkan telah ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur berdasarkan laporan awal berhubung insiden itu yang disiarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), semalam.

Menurut laporan DSB, pesawat MAS yang membawa 298 penumpang itu berkecai di udara selepas ditembusi sejumlah besar objek berkelajuan tinggi dari luar pesawat berkenaan ketika melintasi ruang udara timur Ukraine.

Laporan tersebut sekali gus dilihat mengukuhkan lagi dakwaan sebelum ini bahawa pesawat Boeing 777 berkenaan, terkena serpihan akibat tembakan peluru berpandu.

Berdasarkan siasatan ke atas serpihan pesawat MH17, DSB mendapati banyak kesan tembusan ‘objek’ dari luar pesawat dan menyebabkan kerosakan struktur pesawat sebelum berkecai di udara.

“Kesan tembakan ini juga menjelaskan punca komunikasi perakam kokpit dengan pusat kawalan trafik terputus secara tiba-tiba, serentak dengan kehilangan pesawat itu daripada radar.

“Pesawat MH17 disahkan berkecai di ruang udara berdasarkan penemuan serpihan yang berselerak di wilayah Donetsk,” tambah laporan itu.

Siasatan awal DSB dijalankan ke atas maklumat kotak hitam pesawat, gambar dan rakaman video yang diambil di lokasi kejadian selain maklumat yang disalurkan oleh pusat kawalan trafik Ukraine.

Laporan awal itu juga mengesahkan tiada bukti atau petunjuk yang menunjukkan kotak hitam pesawat MAS tersebut dimanipulasi atau diubah sebelum diserahkan kepada pasukan penyiasat.

Bagaimanapun laporan DSB tidak menyebut jenis senjata yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 yang merupakan jawapan penting bagi merungkai pihak yang bertanggungjawab ke atas tragedi tersebut.

Kiev dan Barat sebelum ini menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) yang dibekalkan oleh Moscow.

Namun Rusia menolak dakwaan tersebut, sebaliknya menyalahkan tentera Ukraine terlibat dalam nahas terbabit. – Utusan Malaysia