Interpol berkas 2 suspek curi cincin RM1.5 juta
Polis yakin dapat menyelesaikan kes kecurian dua bentuk cincin bernilai RM1.5 juta di Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu, berikutan penahanan dua suspek utama oleh Polis Antarabangsa (Interpol) di Zurich, Switzerland, kelmarin.
Setakat ini polis masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa di Zurich, berhubung penangkapan kedua-dua individu terbabit.
Suspek dikesan menerusi hebahan yang disalurkan melalui laporan Perlindungan Tukang Emas Antarabangsa (WD) kepada semua pasukan Interpol di seluruh dunia.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Rasdi Ramli, berkata pada peringkat awal, pihaknya akan menyiapkan laporan yang akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.
Permohonan bagi mendapatkan perintah ekstradisi membawa kedua-dua suspek yang dipercayai berasal dari Taiwan ke negara ini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Polis Daerah Dang Wangi masih menunggu butiran lanjut berhubung penahanan kedua-dua suspek selain bekerjasama dengan pasukan Interpol di sini untuk tindakan untuk mendakwa mereka.
“Setakat ini, suspek turut dikehendaki pasukan polis lain di luar negara atas pembabitan kejadian jenayah sama sejak tahun 2012,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu melarikan dua bentuk cincin masing-masing bernilai RM1.2 juta dan RM280,000 dari dua pusat jualan barangan kemas ekslusif dalam tempoh satu jam di pusat beli belah terkemuka di Bukit Bintang dan KLCC.
Pada 17 Ogos lalu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, mengesahkan kedua-dua suspek adalah penjenayah antarabangsa dan menggunakan modus operandi menyamar usahawan berjaya untuk membeli barang kemas sebelum mencuri dan menghilangkan diri. – Berita Harian