ANGKASA nafi bulan berkembar, Marikh sebelah bulan
Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menafikan dakwaan fenomena ‘Marikh sebelah bulan’ yang kononnya planet Marikh akan membesar seperti bulan dan kemunculan bulan berkembar pada Rabu depan (27 Ogos), seperti yang tersebar di whatsapp, laman sosial dan khidmat pesanan ringkas.
Memang fenomena ‘Marikh sebelah bulan’ boleh terjadi jika dipandang dari bumi, tetapi tidak mungkin sama sekali saiznya akan kelihatan sama dengan bulan mahupun bumi.
Menurut kenyataan ANGKASA, jarak planet Marikh adalah stabil pada orbitnya pada malam berkenaan iaitu 201.69 juta kilometer atau 125.28 juta batu dari bumi, dan bukannya 34.65 juta batu seperti yang telah disebarkan itu.
Pada jarak itu, planet Marikh boleh dilihat dengan mata kasar tetapi hanya akan kelihatan seperti sebuah bintang merah di langit malam dan ia akan terbenam sekitar jam 12 tengah malam, dan oleh yang demikian ia tidak lagi kelihatan selepas daripada waktu itu.
Bulan pada malam itu berada pada fasa anak bulan dan bukannya bulan penuh.
Bulan juga akan terbenam awal pada hari tersebut iaitu sekitar 8.30 malam dan ia tidak lagi kelihatan pada 12 malam seperti yang digembar-gemburkan.
Para pembaca diminta agar tidak mempercayai dan menerima bulat-bulat fakta mengarut yang dikitar semula dari setahun ke setahun ini.
Peminat dan pemerhati fenomena bulan dan bintang boleh melihat kedudukan semua planet dan beribu-ribu bintang di langit menggunakan perisian seperti Stellarium pada komputer mereka.
Pengguna telefon android juga boleh menggunakan aplikasi Google Skymap untuk melihat kedudukan bulan dan bintang secara langsung pada bila-bila masa dengan menghalakan telefon mereka ke langit.