Anak Jackie Chan ditahan sebab dadah

Anak Jackie Chan ditahan sebab dadah
Jackie Chan bersama anaknya Jaycee Chan. Foto twitter @usweekly

Anak Jackie Chan iaitu Jaycee Chan, ditahan Khamis lalu di Beijing bersama pelakon filem Taiwan, Kai Ko, dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah.

Kedua-dua pelakon berkenaan disahkan positif mengambil dadah jenis marijuana serta mereka mengakui mengambil dadah termasuk 100 gram diambil daripada rumah Chan.

Syarikat pengurus Jaycee, M’Stones International, meminta maaf kepada orang awam dalam satu pernyataan yang dikeluarkan dalam laman sesawang syarikat berkenaan.

Syarikat berkenaan berjanji akan menguruskan langkah-langkah pemulihan serta menolong mereka kembali ke pangkal jalan.

Jayce dituduh membantu penagih dadah yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Jackie Chan, pelakon terkenal Hong Kong, pernah dinamakan oleh China sebagai duta kempen antidadah mereka pada 2009, manakala Ko pula merupakan sebahagian artis yang menyertai kempen sama dua tahun lalu.

Penahanan dua selebriti berprofil tinggi China itu adalah merupakan sebahagian operasi melumpuhkan rangkaian dadah paling besar China dalam dua dekad ini.

Sejumlah selebriti sudah pun ditahan berhubung dakwaan dadah susulan satu deklarasi oleh Presiden China Xi Jinping, Jun lalu bahawa pesalah serta penyalahgunaan dadah akan diperangi sehabis-habisnya.

Di Beijing sahaja, lebih 7,800 orang sudah pun ditahan dalam operasi antidadah oleh polis.