Jualan kereta naik semasa musim raya

Jualan kereta naik semasa musim raya

Sambutan hari raya Aidilfitri berjaya meningkatkan jualan keseluruhan industri (TIV) kenderaan bagi bulan Julai lalu, berbanding bulan sebelumnya pada kadar 2.9 peratus, didorong promosi raya yang diperkenalkan hampir kesemua jenama kereta.

Perodua yang menawarkan promosi dan pemotongan harga sempena Aidilfitri ke atas modelnya, Viva antara RM3,000 hingga RM5,300 menjadi penyumbang utama kenaikan jualan industri. Pada masa sama, promosi itu dibuat dalam usaha mengurangkan stok kereta itu menjelang pengenalan model baharu, Axia bulan depan.

Bagaimanapun, jualan pada Julai 2014 itu mengalami kemerosotan 11.9 peratus berbanding Julai 2013. Jualan untuk tempoh sebulan pada Julai 2014 ialah 60,267 buah kenderaan, sementara Julai 2013 ialah 68,431 buah.

Jualan pada 2013 itu lebih tinggi memandangkan pasaran kembali stabil selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), setelah Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaannya di dalam parlimen. Sebelum PRU-13, pengguna mengambil sikap tunggu dan lihat memandangkan wujudnya khabar angin bahawa harga kereta akan diturunkan selepas pilihan raya.

Penganalisis MIDF Research, Annuar Rahman bagaimanapun berkata, jualan pada bulan lepas yang meningkat berbanding Jun 2014 menggambarkan pasaran juga tidak terkesan akibat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia.

“Berdasarkan trend TIV yang meningkat setiap bulan, pasaran tidak terjejas akibat perubahan OPR. Malah, promosi yang agresif oleh penjual kereta berjaya meningkatkan jualan bulanan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Maklumat yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), setakat tujuh bulan pertama tahun ini, sebanyak 393,409 buah kenderaan telah terjual. Jumlah itu meningkat tiga peratus berbanding 381,851 buah kenderaan yang terjual untuk tempoh yang sama tahun 2013.

Mengikut statistik itu, Honda mencatatkan jualan yang paling memberangsangkan dengan jualannya meningkat 57 peratus, dengan pencabar terdekat iaitu Toyota yang hanya naik 11.5 peratus. Peningkatan itu dijana melalui pengenalan model baharunya, City pada April lalu. – Utusan Malaysia