Orang muda profesional perlu ceburi bidang pertanian

Orang muda profesional perlu ceburi bidang pertanian

KUALA LANGAT — Golongan muda terutama dalam kalangan profesional muda diseru menceburi bidang pertanian yang dianggap ‘berlemuih’ atau berlumpur tetapi sebenarnya mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Menurut Pengurus Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baharu,Datuk Mahfuz Omar, persepsi yang menganggap kerja di kilang dan pejabat berhawa dingin lebih berpakaian bersih dan menjana pendapatan tinggi harus diperbetulkan.

“Hari ini saya melawat ladang satelit yang diusahakan oleh seorang profesional iaitu jurutera yang mengusahakan 30,000 polibeg tanaman buah rock melon. Ladang ini diuruskan dengan teknologi internet benda (IoT) dan pertanian fertigasi yang canggih.

“Kesemua tanaman dikawal oleh teknologi tinggi maka kerja dilakukan dengan mudah. Golongan muda profesional jika hendak menjana pendapatan tinggi, saya galakkan menjadi petani, bukan saya cakap tidak perlu kena lumpur tetapi adalah kena sikit,”katanya selepas lawatan kerja ke kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di sini hari ini.

Mengulas mengenai kegiatan pertanian semasa strok haba di kawasan PPK Kuala Langat, Mahfuz berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan PPK Kuala Langat mewujudkan aktiviti pertanian tanpa sebarang masalah sepanjang fenomena cuaca panas tersebut.

“Apa yang penting teknologi pertanian yang ada berjaya mewujudkan sistem penanaman yang boleh disesuaikan dengan keadaan cuaca. Teknologi fertigasi IoT memudahkan penanaman, pembajaan dan penyiraman tanam-tanaman.

“Sewajarnya PPK Kuala Langat menjadi ikon dan dicontohi oleh semua PPK di negara ini, terutama melibatkan kejayaan pihak PPK Kuala Langat menggalakkan ramai golongan muda yang dibawa menceburi diri dalam bidang agro makanan berteknologi tinggi,”katanya.

Mahfuz yang baru dilantik dua minggu lalu berkata, beliau turut berbangga dengan kejayaan Pengerusi PPK Kuala Langat yang juga Pengerusi PPK Terbaik Kebangsaan 2022, Dr.Abdul Razak Kasbollah yang menerajui PPK tersebut hingga mampu memasarkan hasil pertanian seperti cili merah yang menjadi antara ramuan sos cili melibatkan satu jenama terkenal di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tambahnya lagi, mungkin selepas ini hasil dedikasi PPK tersebut, usahawan tempatan turut mampu mengikut jejak jenama terkenal tersebut menghasilkan sos cili dengan kualiti yang sama.

Sumber: BebasNews