Kamera Olympus E-PL7 untuk imej lebih pegun

Kamera Olympus E-PL7 untuk imej lebih pegun

Olympus Malaysia Sdn. Bhd. (Olympus) melancarkan jaringan kamera siri PEN terbaharu model E-PL7 yang mempunyai ciri-ciri merakam gambar `selfie.’

Pengurus Besar Olympus Malaysia, Yong Kee Nyap berkata, model terbaharu ini didatangkan dengan skrin LCD resolusi tinggi dengan saiz 3 inci yang boleh dibalikkan dengan selesa kepada perakam gambar.

“Ketika dunia sedang dilanda demam selfie, Olympus tidak mahu ketinggalan dengan mengeluarkan kamera terbaharu ini yang bermakna pengguna boleh merakam gambar sendiri dengan lebih berkualiti selain mampu berkarya dengan lebih bebas berbanding menggunakan telefon pintar.

“Malah, dengan adanya sistem tiga paksi penstabilan Olympus IS, imej yang dihasilkan lebih pegun walaupun rakaman dilakukan dalam cahaya suram dengan kelajuan pengatup yang perlahan walaupun mereka memegang kamera dengan berat 357 gram ini,” katanya.

Kamera terbaharu Olympus ini kata Kee Nyap, turut dipadatkan dengan dua penuras seni baharu selain 21 penuras seni sedia ada bagi membolehkan jurufoto merakamkan imej lebih kreatif tanpa perlu menyunting menggunakan aplikasi suntingan pada komputer peribadi mereka.

“Ini akan memendekkan masa suntingan kerana ia boleh dilakukan di dalam kamera semasa rakaman itu dilakukan. Penuras seni kami bangunakan selari dengan kesan penuras seni yang terdapat pada aplikasi media sosial yang ada pada masa kini,” katanya.

Selain itu kata beliau, PEN E-PL7 ini juga mempunyai mod wifi yang boleh menyambungkan kamera berkenaan dengan telefon pintar untuk memuat turun imej dan video selain sebagai alat kawalan jauh tanpa wayar kamera berkenaan.

Menurut Kee Nyap lagi, kamera yang didatangkan dengan tiga warna termasuk putih, hitam dan perak juga mampu meakamkan video dengan resolusi 1080p, definisi tinggi penuh dengan kualiti fotografi 16.1 megapiksel.