Lelaki Punjab pakai serban terbesar di dunia
Seorang penganut agama Sikh dari Punjab di India memakai serban yang dipercayai terbesar di dunia sehingga mencecah berat sehingga 45.3 kilogram dan berukuran 645 meter panjang apabila dibuka.
Malah lelaki tersebut, Avtar Singh Mauni, 60, mengambil masa selama enam jam untuk memakai serban yang mempunyai ukuran panjang bersamaan 13 kolam renang bersaiz Olimpik itu.
Menurut Mauni, dia mengambil masa selama 16 tahun untuk menambah ukuran kain pada serbannya dan menganggapnya bukanlah satu beban.
“Saya amat gembira setiap kali memakai serban itu. Saya hanya perlu meletakkan kain daripada atas ke bawah pada setiap lapisan seolah-olah anda membina sebuah rumah bertingkat.
“Jika tidak memakai serban itu, saya akan merasa tidak lengkap kerana sebahagian daripada diri saya telah hilang. Sekiranya serban saya terjatuh, saya akan tertanya-tanya adakah saya telah kehilangan sesuatu atau di mana serban saya?,” katanya sebagaimana lapor Mail Online.
Ukuran panjang kain itu masih belum dapat disahkan namun sekiranya terbukti benar, ukuran serban tersebut akan mengatasi rekod semasa Guinness World Record dipegang Major Singh yang memakai serban berukuran 400 meter panjang.
Mauni berkata, dia membuat serban itu secara berperingkat bermula daripada ukuran 150 meter ke 250 meter kemudiannya berukuran 365 meter sebelum mencapai ukuran panjang yang mengagumkan iaitu 645 meter.
Menurutnya, kain serban berwarna ungu dan oren sahaja sudah mencapai berat 29.9 kilogram dan sekiranya ditambah dengan perhiasan, serban itu mencapai berat 45.3 kilogram.
Selain berserban, Mauni turut mengenakan aksesori seperti gelang tangan dan pedang yang menambah lagi bebanan sebanyak 39.4 kilogram.
Keadaan itu sekali gus menyukarkan dia untuk menaiki kereta dan menggunakan motosikal untuk bersiar-siar di sekitar Punjab. – Utusan Malaysia