Pisang berbuah di batang

Pisang berbuah di batang

Jarang sekali kita dengar kejadian ini, tapi itulah yang berlaku kepada seorang peniaga kedai makan apabila pokok pisang lemak manis yang ditanam di belakang rumahnya di Jalan Pinang, Kampung Sempang, Merlimau berbuah di tengah batang.

Mohd Salleh Sulaiman, 49, berkata, kejadian itu disedarinya ketika mahu membersihkan kawasan belakang rumahnya beberapa hari lalu.

Menurutnya, lebih istimewa lagi apabila tandan pisang itu keluar menegak dan hanya sebesar tapak tangan.

“Ini kali pertama saya menemui pokok pisang yang unik dan pelik kerana tumbuh di batang pokok malah saiznya buahnya sangat kecil,” katanya dalam Sinar Harian.

Tambah Mohd Salleh, sejak berita mengenai kejadian unik itu tersebar, orang ramai termasuk dari luar Melaka datang untuk melihat sendiri serta merakamkan gambar.

“Ada juga orang dari Kuala Lumpur yang datang dan ambil gambar memandangkan kejadian ini jarang-jarang berlaku dan pertama kali berlaku di salah satu pokok pisang yang ditanam di belakang rumah kami,” katanya.