Penduduk terkejut 10 batu nisan dicabut berselerak

Penduduk terkejut 10 batu nisan dicabut berselerak
Batu nisan dicabut dan dibiar berseleak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Foto Utusan

Seorang penduduk yang mahu menziarahi kubur ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Siwak, Jalan Pesisiran Pantai di Miri beberapi hari lalu, terkejut apabila mendapati 10 batu nisan di tanah perkuburan itu telah dicabut dan dibiarkan berselerak.

Kejadian yang disedari pukul 9 pagi itu kemudian dimaklumkan kepada ketua kampung dan penduduk yang gempar menerima perkhabaran itu segera pergi ke tanah perkuburan tersebut untuk melihat apa yang berlaku.

Ketua Kampung Siwak, Madani Wahed, 64, berkata, dia bersama penduduk kampung bergegas pergi ke tanah perkuburan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Saya tidak pasti apa motif ‘penjarah kubur’ mencabut batu nisan di tanah perkuburan itu tetapi apa yang pasti, apa yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini memang tidak betul.

“Kami tidak dapat menerima perbuatan tidak bermoral ini, malah kami menyifatkan ia merupakan tindakan kejam dan tidak bertamadun,” katanya.

Mengulas lanjut, Madani berkata, penduduk kampung tidak menolak kemungkinan tanah perkuburan itu diceroboh oleh individu yang kurang waras.

Katanya, hal ini kerana tanah perkuburan yang terletak berhampiran tepi pantai itu dikatakan menjadi lokasi utama individu tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti tidak sihat.

Kata Madani, penduduk kampung berasa sangat sedih dengan kejadian itu kerana kubur yang dirosakkan adalah tanah perkuburan Islam yang berusia hampir 50 tahun.

“Tidak ketahui apa tujuan mereka merosakkan kubur lama terbabit dan kejadian seumpama ini adalah pertama kali berlaku,” katanya. – Utusan Malaysia