Malaysia hentikan perdagangan dengan Israel
Malaysia telahpun membuat keputusan menghentikan perdagangan dengan Israel, namun menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ia terhad kepada perdagangan secara langsung
“Perdagangan (secara langsung) ini telahpun dihentikan, terutamanya setelah menilai apa yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya kepada pelajar-pelajar Malaysia di Sydney, Australia minggu lalu.
Manakala perdagangan secara tidak langsung agak rumit untuk dielak memandangkan realiti bisnes global masa kini menjangkau sempadan sesebuah negara, terutamanya yang melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) di berbagai-bagai tempat.
Utusan Online melaporkan Mustapa mengakui boleh dikatakan susah untuk menyekat perdagangan secara tidak langsung dengan Israel.
Perdagangan secara tidak langsung boleh dikatakan kompleks hendak dielakkan, misalnya Malaysia membuat perdagangan dengan Palestin, namun terpaksa melalui pihak berkuasa Israel.
“Sekiranya ingin menghentikannya, Malaysia terpaksa turut menghentikan perdagangan dengan Palestin,” katanya.
Perdagangan terus mungkin berlangsung memandangkan Malaysia merupakan pengeluar sarung tangan getah paling besar dengan penguasaan pasaran 70% pengeluaran dunia.
Jadi tidak mustahil ada syarikat Israel yang terpaksa membuat pembelian sarung tangan getah berkenaan bagi kegunaan mereka.
Mustapa menjelaskan, satu faktor lagi yang menjadikan Malaysia berpotensi menjalinkan perdagangan dengan Israel adalah melalui Singapura, disebabkan negara jiran tersebut memiliki hubungan politik serta perniagaan dengan Israel.
Pada masa sama, Singapura merupakan antara rakan dagang paling besar Malaysia.
“Agak sukar untuk mengetahui dengan jelas samada sesuatu barangan itu berasal daripada Israel atau bukan,” katanya.
Mustapa menjelaskan, Malaysia mampu mengambil pendekatan yang ekstrim andainya ingin memboikot barangan Israel, namun berkemungkinan terpaksa menghentikan pembelian barangan-barangan keperluan termasuk kapal terbang penumpang yang juga ada komponen buatan Israel, serta langkah tersebut sukar dilakukan.