Rakyat Malaysia puas hati cara kerajaan tangani insiden MH17
Satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) mendapat majoriti rakyat Malaysia berpuas hati dengan cara kerajaan tangani insiden yang menimpa penerbangan MH17.
Kajian itu juga mendapati mereka tetap yakinterhadap syarikat penerbangan Malaysia, MAS.
Kajian yang dijalankan untuk mengukur perasaan serta tanggapan umum berhubung tragedi MH17 itu dilakukan oleh oleh Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid dan pembantu penyelidiknya, Azrul Hisyam Wakichan dari IIUM.
Kajian itu melibatkan sampel rawak 1,003 responden daripada pelbagai kaum, kumpulan umur serta latar belakang pendidikan.
Laporan kajian berkenaan yang dijalankan dari 31 Julai hingga 3 Ogos itu mendapati 96 peratus responden turut berkongsi dukacita dan bersedia menghulur bantuan kepada mereka yang terlibat.
Berbanding tragedi MH370 yang berlaku empat bulan sebelumnya, rakyat Malaysia kali ini menghargai ketelusan yang ditunjukkan kerajaan serta kepantasan maklumat yang disebarkan.
Sejumlah 92 peratus responden bersetuju ketelusan cara kerajaan tangani insiden MH17 ini sementara 94 peratus responden bersetuju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan melakukan kerja yang baik.
Kebanyakan responden turut berpuas hati tentang bagaimana negara lain menghulurkan bantuan kepada kerajaan Malaysia.
Kajian Dr Syed Arabi turut mendapati sejak tragedi 17 Julai itu, rakyat Malaysia begitu berminat untuk mencari maklumat apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat malang itu.
Kebanyakan maklumat yang mereka peroleh adalah daripada media arus perdana tempatan.
Sejumlah 43 peratus responden bersetuju mereka meletakkan kepercayaan mereka ke atas media arus perdana untuk mendapatkan maklumat berhubung tragedi MH17 sementara 32 peratus mempercayai media sosial.
Di samping itu, 80 peratus responden berkata mereka masih yakin dengan MAS di sebalik beberapa kes yang melibatkan rekod keselamatan sejak kebelakangan ini.
Sementara 82 peratus berkata insiden kedua yang melibatkan pesawat syarikat penerbangan itu menjejaskan imej Malaysia.
Dr Syed Arabi, mantan rektor UIAM sebelum ini menjalankan beberapa kajian mengenai politik serta perkembangan semasa yang memberi kesan ke atas rakyat Malaysia.