Seluruh negara bertafakur seminit hormati jenazah mangsa MH17

Seluruh negara bertafakur seminit hormati jenazah mangsa MH17
Keranda jenazah mangsa mh171 diusung ke van jenazah. Foto @NBCNewsPictures

Seluruh negara diam bertafakur selama seminit hingga dua minit tepat 10.54 pagi untuk memberi penghormatan kepada jenazah 20 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tragedi MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Kebanyakan saluran radio dan televisyen utama menyeru rakyat Malaysia berhenti dari membuat apa-apa untuk seketika dan bertafakur, serta membaca al-fatihah bagi mereka yang beragama Islam, sebaik sahaja semua 20 jenazah dan abu mayat mangsa dimuatkan ke dalam van jenazah di Komplek Bunga Raya, KLIA.

20 jenazah mangsa MH17 itu diterbangkan khas dari Belanda dengan sebuah pesawat Mas kargo.

Jalur Gemilang dikibar separuh tiang ketika negara bersatu dalam hiba bagi mengenang 20 warganya yang maut apabila pesawat berkenaan bersama 298 orang terhempas  di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, suatu peristiwa menyayat hati yang mengejutkan seluruh dunia.

Ramai rakyat Malaysia berpakaian gelap hari ini yang diisytiharkan Hari Perkabungan Negara.

Masing-masing bertafakur dan mendoakan kesejahteraan kepada mangsa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing bagi mengenang mereka yang telah pergi untuk selama-lamanya.

Bernama melaporkan, perhatian tertumpu pada istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diberi kepada mangsa, apabila pengumuman dibuat agar seluruh negara mula bertafakur selama seminit, disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen.

Pengumuman itu dibuat setelah semua 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat mangsa yang dibawa pulang dengan pesawat MAS MH6129 dari Amsterdam, diletakkan di dalam 20 kenderaan jenazah.