Dunia kecam hasrat Israel rampas tanah penduduk Palestin

Dunia kecam hasrat Israel rampas tanah penduduk Palestin

Penduduk dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam rancangan Israel untuk merampas kira-kira 400 hektar tanah penduduk Palestin di Baitulaham dekat Tebing Barat.

Amnesty International dan Mesir turut menggesa Israel memikirkan semula pengumuman mereka untuk rampas tanah penduduk Palestin pada Ahad lalu yang membangkitkan kemarahan rakyat Palestin terutamanya selepas beberapa hari gencatan senjata antara Israel dan Palestin dimeterai.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, pemimpin itu ‘amat bimbang’ dengan rancangan Israel merampas kawasan penempatan Etzion berhampiran Baitulaham.

“Rampasan tanah dalam skala besar berisiko membuka jalan kepada aktiviti rampasan tanah yang lebih meluas yang menurut PBB tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa dan mahu rancangan penubuhan dua negara disegerakan.

“Justeru, Ki-moon meminta Israel mengambil kira gesaan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan sebarang aktiviti penempatan haram dan memenuhi komitmennya mengikut undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap itu, kelmarin.

Selain kecaman PBB, sekutu rapat Israel, AS dan Britain turut menentang rancangan Israel itu yang mahu rejim Zionis segera menarik balik hasrat itu yang menurut mereka boleh mengancam perjanjian damai yang ditaja Mesir sebelum ini.

Mesir turut mengecam rancangan Israel itu dengan menyifatkan langkah berkenaan mencabul undang-undang antarabangsa dan menjadi penghalang kepada penyelesaian isu penempatan Palestin-Israel.

“Rancangan itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan akan memberi kesan negatif kepada proses damai,” kata kenyataan Kementerian Luar Mesir di Kaherah.

Sementara itu, jurucakap kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, Philip Luthert mengecam rancangan Israel hendak rampas tanah penduduk Palestin yang disifatkan sebagai rampasan terbesar ke atas tanah Palestin yang diduduki sejak 1980 dan mahu tindakan berkenaan dihentikan. – Utusan Malaysia/AFP