MAS diminta henti hidang arak, tutup aurat
Nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 dan MH17 bukan sahaja harus dijadikan iktibar, malah perlu menjadi titik permulaan bagi syarikat penerbangan itu melakukan transformasi ke arah yang lebih baik termasuk tidak lagi menghidangkan arak dan kakitangannya menutup aurat.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut (gambar) berkata, kelancaran operasi MAS tidak akan terjejas sekiranya kakitangan menutup aurat dan tidak menghidangkan arak, malah akan dipuji kerana mengamalkan sifat sopan.
“Berkenaan MAS menyediakan minuman beralkohol dan pramugari berpakaian tidak menutup aurat sudah lama saya bangkitkan kerana sudah banyak syarikat penerbangan yang tidak lagi menghidangkan arak dalam kapal terbang.
“Dalam setiap apa yang kita kerjakan, kita mahukan keberkatan-Nya kerana hadis ada menyebut ibu segala maksiat dan dosa adalah arak dan kita kena akur,” katanya selepas melawat keluarga salah seorang mangsa nahas MH17, Allahyarham Hasni Hardi Parlan di Taman Seri Alam 2, di Segamat baru-baru ini.
Nooh berkata, syarikat penerbangan lain yang kakitangannya menutup aurat dan tidak menghidangkan arak masih boleh meraih keuntungan dan menjadi pilihan pelanggan.
“Perkara tersebut bukan sekadar mencakupi soal hukum yang mengharamkan arak, tetapi harus juga dilihat dari sudut kesihatan yang turut diberi perhatian,” kata beliau lagi. – Utusan Malaysia