Pasangan lesbian ditahan dera anak angkat
Pasangan lesbian ditahan kerana mendera anak angkat mereka yang berusia lapan tahun dengan sebatang rotan besar dan pembaris besi sehingga lebam di beberapa anggota badan di Taman Sri Cempaka, di Muar malam kelmarin.
Ibu angkat mangsa, 39, berniaga di Taman Desa dan temannya, seorang ‘pengkid’, 32, yang bekerja sebagai tenaga pengajar seni mempertahankan diri di sekitar daerah ini ditahan kira-kira pukul 8 malam.
Pasangan tersebut yang hidup bersama sejak beberapa bulan lalu menjadikan kanak-kanak itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sri Jong, di pinggir bandar ini sebagai mangsa apabila mereka bertengkar.
Kanak-kanak tersebut menjadi tempat melepaskan geram dan dipukul menggunakan rotan dan pembaris besi hingga lebam di belakang badan, lengan kanan dan kedua-dua kaki.
Penderitaan kanak-kanak itu dikesan guru sekolah beberapa bulan lalu dan apabila melihat kesan lebam baharu, pagi semalam, pengurusan sekolah terus melaporkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muar.
Kanak-kanak malang tersebut dipelihara ibu angkatnya sejak kecil selepas mendapat kebenaran JKM manakala ‘pengkid’ itu yang baharu dikenalinya beberapa bulan lalu membahasakan dirinya sebagai ‘ayah’.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, bertindak atas laporan tersebut pegawai JKM bergegas ke sekolah berkenaan untuk menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kesan lebam.
“Percaya kanak-kanak itu didera, pegawai berkenaan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sebelum pihak polis menjalankan siasatan dan menahan pasangan itu di sebuah rumah di Taman Sri Cempaka.
“Pada masa sama, pegawai JKM terbabit membawa mangsa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menjalani pemeriksaan fizikal dan mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu di belakang badan mangsa, lengan kanan dan kedua-dua kakinya.
“Berdasarkan kesan lebam lama dan baharu serta pemeriksaan awal pasukan perubatan, kami percaya mangsa dipukul sejak beberapa bulan lalu namun masih menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini hari ini.
Menurut Azman, selain menahan kedua-dua suspek pihaknya turut merampas pembaris besi dan sebatang rotan sepanjang lebih setengah meter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
Ujarnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Utusan Malaysia