Pengguna Twitter gelar IGP ‘Anjing BN’ diburu
Dua pengguna laman sosial Twitter dikesan mengeluarkan kenyataan biadap terhadap polis, dengan seorang daripada mereka menggelar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebagai “anjing Barisan Nasional”.
Sehubungan itu, Khalid mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab di sebalik dua akaun Twitter berkenaan untuk dikenakan tindakan.
“PCIRC@PDRMsia sila ambil tindakan terhadap orang biadap ini yang menggelar IGP ‘Anjing BN’,” kata Khalid dalam catatan di laman Twitternya hari ini.
Akaun yang menghina Khalid itu menggunakan akaun Twitter Nasrul Omar.
PCIRC @PDRMsia sila ambil tindakan terhadap org biadap ini yg menggelar IGP 'Anjing BN' pic.twitter.com/1JMAEX9Mge
— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) August 31, 2014
Pada satu lagi akaun Twitter atas nama Viktor Wong, tertera mesej mencemuh berikut: “Bastardization of @PDRMsia. Thanks to the ruthless@KBAB51. Henrich Himmler of Malaysia.”
Merujuk kepada akaun Twitter kedua itu, Khalid berkata: “PCIRC@PDRMsia, juga kesan seorang lagi yang biadap ini untuk diambil tindakan.”
PCIRC @PDRMsia, juga kesan seorg lagi yg biadap ini utk di ambil tindakan. pic.twitter.com/OrWikrjnJS
— Khalid Abu Bakar (@KBAB51) August 31, 2014
Heinrich Himmler adalah antara individu paling digeruni di bawah pemerintahan Nazi di Jerman. – Berita Harian/BERNAMA