Pilih pakej tawaran PJH – Mohd Na’im

Pilih pakej tawaran PJH – Mohd Na’im

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyarankan bakal jemaah haji supaya hanya memilih pakej yang ditawarkan 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen dengan Tabung Haji (TH) bagi memudahkan pemantauan selain mengelakkan penipuan.

Mohd Na’im ketika bercakap pada Majlis Perasmian Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) Kali Ke-2 di Pusat Konvensyen Movenpick di sini berkata saranan itu juga turut melibatkan kumpulan jemaah haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah.

 

Beliau berkata, para jemaah tidak perlu berasa bimbang kerana kesemua 25 syarikat PJH termasuk Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. telah melalui proses penilaian ketat serta memenuhi syarat ditetapkan sebelum diberikan lesen.

Sementara itu, , Ahmad Safuan Nizam Mohd, Pengurus Haji MKM, salah sebuah syarikat PJH yang menyertai Karnival itu mengalu-alukan kehadiran orang ramai sepanjang berlangsung acara berkenaan bagi menikmati pakej haji dan juga umrah yang menarik.

MKM merupakan antara 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang menyertai Karnival tersebut dan turut menawarkan Pakej Rahmah dengan harga bawah RM50,000 bagi musim haji tahun ini, kata Pengurus Haji MKM, Ahmad Safuan Nizam Mohd.

Ahmad Safuan berkata, selain pakej Rahmah, pihak syarikat juga menawarkan tujuh pakej haji yang boleh dipilih dengan harga bermula RM49,800 sehingga RM270,000 untuk seorang jemaah.

Beliau menjelaskan MKM sendiri memperuntukan RM1 juta untuk menawarkan baucar khas bernilai RM5,000 bagi bakal jemaah terpilih yang ingin menunaikan ibadah haji dengan syarikat dengan syarat mendaftar awal.