Agong berangkat ke Monaco, Jordan untuk lawatan khas
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Monaco dan Jordan untuk lawatan khas ke kedua-dua negara bermula hari ini sehingga 29 Mei depan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin berkata, lawatan khas selama empat hari itu adalah atas persilaan Putera Monaco, Putera Albert I.
“Seri Paduka dijadualkan berangkat mengadakan pertemuan dengan Putera Albert II di Palace of Monaco esok.
“Pada 28 Mei, Seri Paduka dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari bersama Putera Albert II dan kerabat diraja Monaco di Heracles Palace disusuli dengan keberangkatan ke Litar Formula 1 (F1) Monaco pada sebelah petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi lawatan khas ke Jordan, Yang di-Pertuan Agong dijadualkan berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman pada 30 Mei.
Katanya, lawatan khas Jordan itu atas persilaan Raja Jordan, Raja Abdullah II dan kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan pertemuan pada 31 Mei.
“Keesokan hari, Seri Paduka dijadualkan berangkat menghadiri Mails Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
“Seri Paduka dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun,” katanya.
Sumber: Edisi9