Istiadat Penghormatan Jenazah MH17 satukan jiwa rakyat – Najib

Istiadat Penghormatan Jenazah MH17 satukan jiwa rakyat – Najib
Datuk Seri Najib bertafakur seketika buat mangsa tragedi MH17 sewaktu majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pekan. Foto BH Online

Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 yang dilangsungkan semalam dilihat berjaya menyatukan seluruh jiwa rakyat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu berucap di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Pekan berkata, istiadat itu amat signifikan kepada semua lapisan rakyat Malaysia dalam merapatkan barisan walaupun ditimpa dugaan dan rintangan.

Menurut beliau, kalau kita merapatkan barisan, bersatu hati dan membulatkan tekad tiada apa yang tidak boleh ditempuhi, jika kita berdiri atas prinsip kebenaran orang akan menghormati kita walaupun kita (Malaysia) bukan kuasa besar.

Beliau juga mahu rakyat Malaysia menjadikan tragedi MH17 dan MH370 sebagai iktibar serta melihat hikmah diberikan Allah SWT.

“Kita kena tambah keimanan, ketaqwaan dan memohon doa kepada Allah… tetapi sebelum itu kita mesti berikhtiar serta berusaha kerana ia dituntut oleh Allah.

“Itu menjadi panduan kepada saya walaupun tidak tidur pada bulan Ramadan (bagi menyelesaikan tragedi MH17 termasuk berunding dengan puak pemisah),” katanya.