Wanita dedah kes pencabulan pada media

Wanita dedah kes pencabulan pada media

Seorang staf syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) didakwa meraba seorang wanita Australia ketika dalam penerbangan ke Perancis, dan pramugara itu kemudian merayu kepada penumpang wanita itu supaya tidak melaporkan kejadian itu.

Kejadian itu didedahkan oleh wanita terbabit, Laura Bushney kepada media Australia.

Wanita berasal dari Perth itu mendakwa dia tergamam ketika pramugara itu merabanya dengan berpura-pura menyatakan dia melakukan perbuatan itu untuk menenangkan wanita itu yang ketakutan menaiki pesawat berkenaan ekoran beberapa insiden yang membabitkan pesawat syarikat penerbangan itu sejak akhir-akhir ini.

Awal bulan ini, MAS mengeluarkan kenyataan mengakui seorang anak kapalnya telah ditahan di Perancis atas dakwaan serangan seksual itu yang didakwa berlaku pada 4 Ogos lalu.

Bushney memberitahu stesen televisyen Channel Seven, tiga jam selepas pesawat MAS yang dinaikinya berlepas dari Kuala Lumpur ke Paris, pramugara itu duduk disebelahnya dan pramugara itu mula mengurut kaki wanita itu.

Wanita berusia 26 tahun itu mendakwa pramugara itu mula merabanya, dengan mengambil kesempatan atas kelemahan dirinya yang sedang ketakutan.

“Saya terfikir kenapa saya tidak menjerit? Mengapa saya tidak menghentikan perbuatannya? Saya seorang yang kuat kerana saya boleh melakukannya, saya tahu saya boleh melakukannya.

“Ketika saya berdepan keadaan itu, saya tidak mampu (tidak mampu menjerit). Saya berasa takut, tergamam,” kata wanita itu.

Bagaimanapun Bushney merekodkan sebahagian kejadian itu dengan merakamkannya melalui telefon mudah alih miliknya yang dibalut dengan selendang di sebelah bantalnya.

Dalam rakaman tersebut yang disiarkan melalui Channel Seven, wanita itu boleh dengar bisikan pramugara tentang apa yang dilakukan kepadanya.

“Dia mengurut kaki saya,” dakwa Bushney, dan wanita itu didengar memberitahu pramugara itu: “Saya sangat takut, saya mahu turun dari pesawat ini.”

Bushney dilaporkan duduk di kerusi di barisan 81 yang dikosongkan kecuali seorang lelaki yang duduk agak jauh daripadanya di dalam pesawat berkenaan.

Selepas kejadian itu, Bushney mengadu kejadian itu kepada seorang penumpang, Sophie Lachance, yang duduk di kerusi di bahagian hadapannya.

“Seseorang menyentuh lengan saya… dan apabila saya bangun dan melihat air matanya bercucuran dan dia teresak-esak, betul-betul sedih,” ujar Lachance kepada Channel Seven.

“Dia (Bushney) memberitahu saya lelaki itu melakukan sesuatu kepadanya,” kata Lachance.

Dalam rakaman tersebut, pramugara itu dilihat kembali ke tempat duduk Bushney dan merayu kepada Bushney dengan menyatakan perbuatannya itu berniat baik. – Utusan Malaysia/AFP