Emma – Zizan masih tiada tarikh kahwin

Emma – Zizan masih tiada tarikh kahwin

Sebelum ini pelakon Zizan Razak pernah menyatakan hasrat untuk melangsungkan perkahwinannya pada tahun ini. Tapi, setakat ini tiada lagi kata putus tentang perkara itu dikeluarkan oleh beliau.

Sebaliknya, banyak perkara yang melanda diri Zizan. Syarikat pengurusan, Wirefame miliknya dikatakan akan dibubarkan kerana terdapat beberapa masalah dalaman. Selain itu, ada juga dakwaan berlaku penyelewengan wang berlaku dalam syarikat berkenaan.

Namun, kemelut yang berlaku ke atas syarikat jejaka berusia 30 tahun itu kini semakin senyap daripada dibicarakan.

Melupakan sejenak perkara itu, kunjungan Zizan ke Tokyo, Jepun dua bulan lalu bersama kekasih hati, Emma Maembong turut menjadi perbualan. Ada yang mengatakan Zizan dan Emma telah menjalani satu sesi fotografi pra perkahwinan.

Foto-foto romantik mereka telah dirakam dan diabadikan di sana biarpun asalnya kehadiran mereka adalah atas urusan kerja iaitu menjalani penggambaran sebuah program travelog.

Ikuti temu bual Utusan Malaysia bersama Zizan yang ditemui selepas pementasan Bahayanya Wanita di Istana Budaya baru-baru ini.

Betul atau tidak awak ke Tokyo, Jepun sempat merakamkan gambar pra perkahwinan?

ZIZAN: Maaf, tapi saya rasakan perkara itu tidak harus saya ulas lanjut kerana ianya terlalu bersifat peribadi.

Jika orang sudah katakan, maksudnya awak sudah ada tarikh untuk melangsungkan perkahwinan?

ZIZAN: Orang memperkatakan bagi saya mereka meneka. Semuanya masih dalam perbincangan lagi. Belum ada sebarang tarikh lagi. Hanya doakan yang terbaik bagi kami.

Emma kini sudah bertudung. Apakah penerimaan awak terhadap perubahan dirinya?

ZIZAN: Senang dan gembira dengan imej baharu Emma itu. Itu semua untuk kebaikan dirinya sendiri. Saya pasti akan menyokong apa sahaja perkara yang dibuatnya.

Itu soal jodoh awak, bagaimana pula dengan kemelut yang melanda syarikat awak sebelum ini?

ZIZAN: Semuanya sedang diselesaikan. Tidak ada apa yang berlaku. Perbincangan juga masih dijalankan.

Awak sudah menemui bekas rakan kongsi, Marina Juki dalam perbincangan perkara itu?

ZIZAN: Sudah. saya sudah menemui dia (Marina). Saya tetap akan selesaikan perkara itu walau sibuk mana pun saya. Harap semuanya akan diselesaikan secepat mungkin.

Apakah perkembangan kerjaya terbaharu Zizan?

ZIZAN: Saya akan menjalani penggambaran filem baharu arahan Ghaz Abu Bakar berjudul Polis Evo bersama Shaheizy Sam. Selain itu, saya juga masih dalam proses menghabiskan rakaman lagu untuk filem Cicak Man 3.