Wajibkan letak papan tanda halal
Persatuan Pengguna Islam (PPIM) menggesa kerajaan mewujudkan satu undang-undang kecil yang mewajibkan semua peniaga makanan dan minuman meletakkan papan tanda halal atau tidak halal di premis masing-masing.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, papan tanda itu disarankan diletak di pintu masuk atau rak jualan semua kedai makan atau yang menjual bahan basah.
Katanya, tindakan segera wajar diambil kerana PPIM menerima beberapa aduan daripada pelancong asing terutama dari negara Asia Barat yang menjadi mangsa di restoran tidak halal ekoran ketiadaan sebarang makluman mengenainya.
“Salah satu contoh aduan yang diterima menerusi program khas PPIM iaitu Kaunter Mesra Malaysia-Arab, pengadu memaklumkan mereka memasuki sebuah restoran yang tidak mempunyai sebarang makluman mengenai status halal, selepas menjamu selera salah seorang rakan mereka memberitahu restoran tersebut ada menyediakan hidangan babi.
“Saya kesal dengan kejadian tersebut. Pengadu memberitahu mereka tidak menyangka di Malaysia juga perlu mengambil sikap was-was untuk makan sedangkan negara ini adalah negara Islam dan hab halal,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
Sehubungan itu Nadzim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Pelancongan diminta mengambil perhatian serius berhubung perkara itu di samping satu pemantauan serta pemeriksaan segera perlu dilakukan ke atas semua premis makanan.
Katanya, dalam isu itu, peniaga sama ada yang beragama Islam atau tidak, sewajarnya bertanggungjawab dan mengutamakan etika dengan membantu pengguna terutama pelancong asing mengenai status halal dan haram.
“Sekiranya peniaga itu menjual atau menyediakan makanan haram untuk orang Islam, apabila mereka melihat pengunjung merupakan orang Islam maka tolong maklumkan kedai itu tidak halal, jangan asyik mengutamakan keuntungan.
“Tindakan seumpama ini hanya akan menjatuhkan peratusan kemasukan pelancong asing terutama dari Asia Barat ke Malaysia kerana mereka merupakan antara kumpulan pelancong paling ramai,” katanya.
Nadzim berkata, selain undang-undang kecil, PPIM terus menggesa satu akta halal diwujudkan khusus untuk memantau semua perkara berkaitan isu itu di dalam negara.
Katanya, Malaysia merupakan negara hab halal namun apabila terdapat peniaga yang masih gagal mengutamakan aspek halal, maka status itu tidak selaras dengan pendekatan yang diterapkan oleh kerajaan.
“Saya amat bimbang isu ini menjadi viral dalam media sosial di peringkat antarabangsa kerana hal ini berkaitan dengan imej Malaysia dan industri pelancongan. Kami berharap satu tindakan segera perlu dilakukan oleh kerajaan,” katanya. – Utusan Malaysia