Warga emas maut dijerut leher
Seorang warga emas ditemui maut dalam keadaan menyayat hati dengan kain dijerut di leher, tangan dan kaki terikat serta tertiarap di atas kerusi di kedai runcitnya di Kampung Sura Hujung, Dungun, tengah hari semalam.
Kejadian itu disedari Zakiah Zainal, 59, berikutan ibu mentuanya, Mariam Kasim, 86, masih belum membuka kedai meskipun jam sudah melewati hampir 12 tengah hari.
Menurut Zakiah, ibu mentuanya yang tinggal seorang diri di rumah bersebelahan kedai runcit itu biasanya akan membuka kedai seawal jam 7 pagi.
Bagaimanapun katanya, pada hari kejadian, dua kali dia pergi ke rumah ibu mentuanya itu, iaitu kira-kira jam 8.30 pagi dan 9.30 pagi sebaik pulang dari masjid selepas mengikuti kuliah agama, namun mangsa masih tidak kelihatan.
“Dia masih belum buka kedai sehingga jam 12 tengah hari. Saya rasa tidak sedap hati dan cuba masuk melalui pintu dapur untuk melihatnya, namun sebaik membuka pintu, saya terkejut apabila lihat dia dalam keadaan tertiarap di atas kerusi.
“Tangan dan kakinya terikat, selain terdapat lilitan kain di lehernya,” katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
Menurut Zakiah, dia kemudian memanggil anak lelakinya, Zuazri Mohd Ariffin, 35, untuk memaklumkan kejadian tersebut sebelum mengangkat mangsa yang kali terakhir ditemuinya kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Katanya, dia tidak menyangka ada orang tergamak melakukan ibu mentuanya sedemikian rupa, apatah lagi mangsa merupakan warga emas.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca kematian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian dan memaklumkan, kes tersebut masih dalam siasatan.