Peluang nikmati diskaun menarik pakej haji, umrah

Peluang nikmati diskaun menarik pakej haji, umrah

KUALA LUMPUR — Orang ramai terutamanya bakal jemaah haji dipelawa mengunjungi Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 selama tiga hari di Movenpick Hotel and Convention Centre di Sepang, mulai Jumaat ini bagi menikmati pakej haji dan juga umrah yang menarik.

MKM merupakan antara 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang menyertai Karnival tersebut dan turut menawarkan Pakej Rahmah dengan harga bawah RM50,000 bagi musim haji tahun ini, kata Pengurus Haji MKM, Ahmad Safuan Nizam Mohd.

 

Ahmad Safuan dalam kenyataannya di sini berkata, selain pakej Rahmah, pihak syarikat juga menawarkan tujuh pakej haji yang boleh dipilih dengan harga bermula RM49,800 sehingga RM270,000 untuk seorang jemaah.

Beliau menjelaskan MKM sendiri memperuntukan RM1 juta untuk menawarkan baucar khas bernilai RM5,000 bagi bakal jemaah terpilih yang ingin menunaikan ibadah haji dengan syarikat dengan syarat mendaftar awal.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata penganjuran Karnival ini disasarkan kepada bakal jemaah yang tidak memilih pakej Muassasah TH.

Beliau berkata, pakej ditawarkan PJH di bawah harga RM50,000 sebagai munasabah berdasarkan bayaran penuh jemaah Muassasah pada tahun lalu adalah RM30,850 bagi seorang.

“Jadi, bakal jemaah yang pilih untuk menunaikan haji menerusi PJH hanya perlu tambah sedikit sahaja sudah dapat pergi melalui Pakej Rahmah,” kata Syed Saleh ketika mengadakan sidang media tentang prapelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024.

Sementara itu, Ahmad Safuan juga menasihati orang ramai membeli pakej haji atau umrah di Karnival anjuran TH itu dapat memastikan mereka tidak tertipu dan mendapat perkhidmatan yang setara atau lebih baik berbanding dengan jumlah wang dibayar.

Karnival dijangka menyediakan 140 reruai daripada syarikat berkaitan urusan haji termasuk 25 syarikat PJH itu dianjurkan bagi menyediakan peluang kepada bakal jemaah untuk memilih dan membandingkan pakej yang disediakan PJH.