Akhbar hitam putih sempena hari perkabungan negara
Kebanyakan akhbar utama di Malaysia menggunakan warna hitam dan putih di muka hadapan bagi menzahirkan kehibaan sempena Hari Perkabungan Negara hari ini. Laman web akhbar-akhbar tersebut juga bertukar masthead kepada warna hitam putih.
Bernama melaporkan, susun atur muka hadapan akhbar utama hari ini juga menggunakan tajuk utama, gambar dan petikan kata-kata terakhir mangsa penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang menyentuh hati.
Akhbar Utusan Malaysia menggunakan warna hitam dengan tajuk utama ‘Penghormatan Negara’ dengan nama 20 penumpang dan anak kapal pesawat MH17 yang tiba di Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Berita Harian pula menggunakan warna hitam putih dengan gambar Jalur Gemilang dikibarkan separuh tiang pada muka hadapannya.
Kebanyakan premis kerajaan, sekolah serta pihak swasta juga menurunkan bendera separuh tiang sebagai tanda menyertai perkabungan negara.
Sinar Harian pula menggunakan gambar solat jenazah yang dilakukan di Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravenhage di Belanda, Khamis sebelum mayat berlepas ke Kuala Lumpur dengan tajuk ‘Malaysia Berkabung’.
Turut menggunakan warna hitam putih ialah Harian Metro dengan tajuk utama ‘Kembali Bersemadi’.
Akhbar itu turut mencetak petikan kata-kata terakhir anak kapal MH17, Mastura Mustafa kepada suaminya, Mohamed Affendi Khairuddin menerusi aplikasi Wechat yang berbunyi ‘Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang, suatu hari nanti sayang akan pergi temui Allah takkan kembali’ pada muka hadapan.
Akhbar berbahasa Inggeris, The Star menggunakan warna hitam putih dengan gambar wajah 20 mangsa MH17 yang tiba hari ini menggunakan tajuk muka hadapan ‘They are home’.
Muka hadapan akhbar berbahasa Inggeris, the Sun memaparkan gambar pesawat penerbangan Malaysia dan Jalur Gemilang yang dikibarkan separuh tiang dengan tajuk ‘Malaysia Mourns RIP MH17’.
Sementara New Straits Times mencetak nama kesemua 43 mangsa warga Malaysia MH17.
Akhbar MalayMail pula memaparkan tajuk “They’re coming home, no words to say farewell.”
Halaman utama laman web www.bernama.com turut menggunakan warna hitam dan putih pada logonya sempena hari perkabungan negara ini.
Media tempatan juga dilihat menggunakan warna hitam dan putih pada logo mereka di laman web, laman facebook dan laman sosial twitter masing-masing.