Anak Mel Wings antara 12 peserta AF2014
Anak bekas vokalis Wings yang juga penyanyi, Ikhwal Hafiz Ismail, 22, antara 12 peserta Akademi Fantasia 2014 (AF2014) yang bakal memulakan konsert pertama pada 9 September ini.
Ikhwal Hafiz mungkin mempunyai pengalaman sebagai penyanyi dan mewarisi bakat ayahnya, Mel, tetapi itu belum menjamin beliau untuk mendapat laluan mudah di dalam rancangan realiti TV yang memasuki musim ke sebelas itu.
Beliau juga ada ramai pengikut di laman sosial, tetapi sama ada ia dapat memanfaatkannya atau menjadikan lebih tertekan, hanya masa akan menentukan apabila pintu akademi dibuka September nanti.
“Apa pun latar belakang setiap peserta, masing-masing perlu tonjolkan bakat dan kebolehan kerana penonton mengundi bersandarkan persembahan malam itu,” kata Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad di majlis memperkenalkan tenaga pengajar dan peserta AF2014.
BH Online melaporkan, AF2014 akan mengekalkan format seperti musim awal pertandingan nyanyian realiti itu, tenaga pengajar kali ini ialah Siti Hajar Ismail, Fatimah Abu Bakar, Linda Jasmine selain Marlia Musa dan Acis.
Pelawak, pelakon dan penyanyi, Zizan Razak dipertanggungjawabkan sebagai hos manakala Jihan Muse sebagai pengacara diari AF2014.