2 model fotografi pengantin separuh bogel didenda RM400
Sepasang model yang menjadi tumpuan ramai dan menggemparkan bandar raya Ipoh kerana berpakaian pengantin dan berjalan dalam keadaan separuh bogel akhirnya didenda maksimum RM400 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam.
How Jo Yee, 21, dan Low Kah Wai, 27, dijatuhi hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kegusaran am kepada awam berhampiran lampu isyarat Jalan Sultan Yussuf di hadapan CIMB Bank di sini, kira-kira pukul 9 pagi, 25 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing beralamat di Marang, Terengganu dan Petaling Jaya, Selangor didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM400.
Pendakwaan di hadapan Majistret Haslinda A. Raof, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Andrew Soong Tze Toong.
Mengikut fakta kes, Kah Wai ketika berada di lokasi pada hari kejadian hanya memakai seluar berwarna gelap tanpa baju manakala Jo Yee pula memakai seluar dalam dan coli berwarna putih.
Perbuatan di tempat awam oleh kedua-dua tertuduh itu telah dilihat beberapa saksi awam yang kemudiannya merakamkan gambar dan tersebar di laman sosial serta akhbar-akhbar utama di negara ini.
Terdahulu, Tze Toong yang mewakili pasangan model itu menyampaikan permohonan maaf bagi pihak anak guamnya kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang telah tersinggung dengan perbuatan mereka.
Menurutnya, gambar yang disebarkan di laman sosial itu tidak dimuat naik oleh kedua-dua tertuduh sebaliknya dilakukan oleh orang awam.
“Mereka tiada niat untuk menyebarkan kejadian tidak senonoh ini. Oleh itu, mohon dikenakan hukuman denda yang amat ringan terhadap mereka,” ujar peguam itu.
Harris Ong pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran dan mesej kepada umum agar berhati-hati dalam tindakan masing-masing pada masa hadapan.
Isnin lalu, orang ramai gempar apabila seorang lelaki dan wanita, dipercayai model, memperagakan pakaian dalam keadaan separuh bogel di Jalan Sultan Yussuf di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, wanita tersebut hanya memakai bikini berwarna putih dan kain layah (veil) manakala pasangannya memakai seluar panjang berwarna hitam tanpa baju. – Utusan Malaysia