Pemilik kenderaan mewah perlu bayar kompaun cukai
Jabatan Kastam DiRaja Malaysia meminta pemilik kenderaan mewah, termasuk golongan penjawat awam, menjelaskan kompaun cukai tertunggak setelah kenderaan mereka dirampas atas kesalahan memiliki kenderaan yang tidak mempunyai lesen import (AP) dan tinggal lebih masa di Tanah Semenanjung.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, Datuk Mohd Isa Endot berkata, setakat ini terdapat pemilik kenderaan terbabit masih tidak menjelaskan kompoun atas pelbagai kesalahan memiliki kereta import.
Katanya, kastam telah merampas sebanyak 120 buah kenderaan import di sekitar ibu negara sejak Disember 2013 sehingga Januari tahun ini.
“Nilai cukai keseluruhan kenderaan dirampas itu lebih kurang RM60 juta. Manakala nilai kenderaan dirampas itu hampir RM14 juta,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya, di Petaling Jaya, semalam.
Beliau berkata daripada 120 jenis kenderaan itu termasuk Lamborghini, Ferrari, Bentley Porshem, Nissan GTR, Audi, Toyota, Nissan, Honda, Mitshubishi, Volkswagen, Mercedes Benz, Lexus, dan Motosikal BMW.
Mohd Isa berkata antara kesalahan, 33 buah pemilik kenderaan itu mempunyai nombor kenderaan berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari.
Katanya, adalah menjadi kesalahan bagi kenderaan berpendaftaran di Langkawi berada di Semenanjung lebih dari tempoh ditetapkan mengikut Butiran 13A, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2013.
Beliau berkata 28 buah lagi kenderaan import bernombor pendaftaran di Langkawi didapati tidak mempunyai lesen AP dan menjadi kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus kastam.
“Terdapat 59 kenderaan mewah terpakai diimport daripada Singapura juga tidak mempunyai lesen AP telah dirampas atas Akta Kastam yang sama,” katanya.
Beliau berkata pemilik kenderaan kes tinggal melebihi had ditetapkan atau tidak memiliki AP dari Langkawi diminta membayar cukai dengan kadar segera dan kastam akan mengambil tindakan mahkamah jika pemilik kenderaan enggan membayarnya.
Daripada 120 kenderaan dirampas itu, hanya 19 buah kenderaan telah dijelaskan bayaran cukai oleh pemilik kenderaan itu bernilai lebih RM6 juta.
“Kastam menyeru pemilik kenderaan termasuk pegawai-pegawai penjawat awam yang memiliki kenderaan bagi kesalahan itu yang berasal dari Langkawi dan Singapura tampil dan menyerahkan kenderaan secara sukarela kepada pejabat kastam yang berhampiran.
“Tindakan tegas akan dikenakan jika pemilik gagal berbuat demikian dan pihak kastam mempunyai senarai lengkap serta sentiasa mengesan kedudukan kenderaan yang disembunyikan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam urusan membeli kereta mewah dari individu, ejen, atau syarikat penjual kereta dan menyarankan agar pembelian kenderaan itu dibuat pengesahan lesen AP dan Borang Kastam 1 dengan pihaknya terlebih dahulu. – Bernama