6 peserta pesta sukan bogel didenda RM5,000 dijel sebulan

6 peserta pesta sukan bogel didenda RM5,000 dijel sebulan
Peserta pesta sukan bogel dijatuhi hukuman penjara dan denda RM5,000

Enam peserta sukan bogel yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di Balik Pulau semalam.

Perbuatan biadab kumpulan yang menyertai penganjuran pesta sukan bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang pada Mei lalu itu mula mendapat pembalasan.

Keenam-enam lelaki terbabit, Loh Kok Hong, 41, Mu Wai Peng,34, Justin Ang Ji Keng, 24, Yam Kam Hoong, 54, Lionel Loo Joo Heng, 52, dan R. NandaKumar, 40, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadap mereka.

Sementara empat lagi tertuduh terdiri daripada tiga perempuan, Chew Tok Hwa, 57, Chan Chia Wen, 27, dan Teh Guan Hoon, 37, serta seorang lelaki, Kong MengLeong, 38, masing-masing mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di tempat awam di Pantai Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang di sini di antara pukul 3 petang dan 6 6 petang, 30Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yangmemperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Muhammad Najib Ismail turut memerintahkan keenam-enam mereka dipenjara tiga bulan jikagagal membayar denda tersebut.

Selain itu, Kam Hoong yang dikatakan penganjur kedua pesta sukan bogel itu turut menghadapi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana menghasilkan video lucah.

Bagi kesalahan itu, Kam Hoong dihukum penjara enam bulan berkuat kuasa mulai hari ini.

Muhammad Najib sebelum menjatuhkan hukuman tersebut berkata, Malaysia adalah negara yang unik dan terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, budaya dan cara hidup.

“Apa yang telah menyatukan rakyat adalah Rukun Negara yang dipelajari sejak kecil sehingga hari ini. Sebagai orang Malaysia kita sanjung tinggi Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Bagi kes terhadap Tok Hwa, Chia Wen, Guan Hoon, dan Meng Leong, mahkamah membenarkan setiap tertuduhdibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 berserta seorang penjamin warga tempatan sementara menunggu sebutan kes pada 16 Oktober ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Edward Chan manakala hanya Kok Hong dan Guan Hoon masing-masing diwakili peguam Allen Choong dan Jason Khor sementara yang lain tidak diwakili peguam bela. – Utusan Malaysia