Tiga pekerja Bangladesh dikhuatiri maut konkrit MRT runtuh

Tiga pekerja Bangladesh dikhuatiri maut konkrit MRT runtuh

Tiga pekerja binaan warga Bangladesh dikhuatiri maut tertimbus apabila blok konkrit di tapak projek pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT), Kota Damansara berhampiran Hospital Pusrawi Damansara di Petaling Jaya, runtuh semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 malam dan ketiga-tiga mangsa dipercayai tersepit, bagaimanapun keadaan mereka belum dapat dipastikan setakat 12 tengah malam tadi.

Mangsa yang dikhuatiri tertimbus ialah Mohamad Faruk Khan, Mohammad Elahi Hossain dan Mohammad Alauddin Mollik.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamatkan tiga mangsa yang dikhuatiri tertimbus sedang dijalankan oleh Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat, Operasi dan Taktikal Khas (STORM) Bomba Selangor.”

Sementara itu, Mass Rapid Transit Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dalam kenyataannya malam ini mengesahkan tiga pekerjanya terperangkap dalam runtuhan itu.

Runtuhan melibatkan konkrit seberat 300 tan dan 38 meter panjang.