Wanita India kalahkan harimau bintang

Wanita India kalahkan harimau bintang
Kamla Dewi terlantar di hospitak akibat cedera semasa berlawan dengan harimau bintang yang menyerangnya.

Keberanian seorang wanita mempertahankan diri dengan membunuh seekor harimau bintang yang menyerangnya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun, menggemparkan penduduk kampung di Uttarakhand, India kelmarin.

Akhbar Daily Mail melaporkan, Kamla Dewi, 54, menikam harimau itu itu dengan hanya menggunakan peralatan kebun dan bergelut selama satu jam sebelum haiwan itu mengalah lalu beredar dan ditemukan mati di Koti Bodna, Rudarprayang.

“Harimau bintang itu menyerang Kamla secara tiba-tiba ketika sedang dalam perjalanan ke rumah.

“Wanita berani itu melawan haiwan ganas tersebut dengan penyodok kecil dan sabit. Harimau itu kemudian melarikan diri selepas pergelutan tersebut. Kami kemudian mendapati harimau itu mati berdekatan kampung berkenaan,” kata seorang penduduk kampung kepada akhbar India Today.

Katanya, selepas pergelutan itu wanita tersebut terpaksa berjalan sejauh 804 meter sebelum mendapatkan bantuan.

Kakitangan perubatan berkata, walaupun keadaan wanita itu stabil, dia menerima lebih 100 jahitan, luka yang dalam di kepala dan kaki. Dia turut mengalami patah tulang di dua bahagian tangan kanan dan satu bahagian di tangan kiri.

Pakar Hidupan Liar, Lakhpat Rawat berkata, dia terperanjat apabila mengetahui pertarungan itu berlangsung terlalu lama.

“Harimau bintang hanya akan mengalah apabila mengetahui lawannya itu kuat. Kebanyakannya serangan harimau hanya terhad kepada beberapa minit dan tidak lebih dari 10 minit,” ujarnya. – Utusan Malaysia