Bekalan elektrik mampu bertahan sehingga 2030

Bekalan elektrik mampu bertahan sehingga 2030
Pencawang elektrik - Foto: some_soul @ Flickr

Malaysia mempunyai lebihan rizab tenaga elektrik pada kadar 25 peratus setahun, yang mencukupi bagi memenuhi permintaan domestik sehingga 2030.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setiap empat hingga lima tahun, kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi sentiasa mengkaji dan merancang paras kapasiti tenaga elektrik, supaya pembekalan kepada kediaman serta industri tidak terjejas.

Beliau berkata, rizab bekalan elektrik yang boleh dijana bagi keperluan Semenanjung Malaysia ialah 25 peratus manakala rizab bagi Sabah dan Sarawak juga berada pada paras yang selesa.

“Kerajaan mempunyai hala tuju dalam hal berkaitan permintaan tenaga. Ia penting bagi pertumbuhan ekonomi negara, keperluan pengguna harian, sektor pelancong dan pelbagai industri. Kerajaan telah menyusun perkara ini mengikut keperluan semasa dan jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ASEAN Power Week 2014 di Kuala Lumpur semalam.

Malaysia ketika ini mempunyai kapasiti tenaga elektrik sebanyak 21,000 Megawatt (MW), dengan permintaan puncak boleh mencecah sehingga 17,000MW. Lebihan tersebut ialah 4,000MW. Tenaga dijana sama ada melalui arang batu, gas dan hidro.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Ahmad Fauzi Hasan berkata, lebihan itu penting bagi memastikan pelan kecemasan dapat dilakukan jika terdapat kelewatan pembinaan stesen-stesen janakuasa atau pemberhentian mengejut mana-mana stesen janakuasa.

“Malah setiap janakuasa itu mempunyai keupayaan untuk meningkatkan penghasilan tenaga. Malah, kerajaan dan ST sendiri sentiasa membuka bidaan untuk pembinaan stesen-stesen janakuasa baharu,” katanya lagi.

Mengenai cadangan pembinaan pusat janakuasa berasaskan nuklear, Mahdzir berkata, ia masih di peringkat awal. Ketika ini, cadangan itu masih dikaji oleh Malaysia Nuclear Power Corporation mengikut piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Keputusan kajian dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi dan kerajaan akan mengumpul pandangan pelbagai pihak mengenai sama ada tenaga nuklear akan dibangunkan atau tidak, katanya. – Utusan Malaysia