Perompak bank maut ditembak pengawal keselamatan
Seorang lelaki maut selepas ditembak pengawal keselamatan dalam satu cubaan merompak bank di Jalan Sungai Dua, di Pulau Pinang, semalam.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, suspek berusia dalam lingkungan 30-an meluru masuk ke dalam bank dan terus menjerit “rompakan” dalam bahasa Cina.
Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk A Thaiveegan, berkata suspek dikatakan menyimbah satu botol petrol ke arah beberapa pelanggan manakala sebotol lagi di atas kaunter.
Beliau berkata, semasa suspek cuba mengugut membakar pelanggan, seorang pengawal keselamatan berusia 29 tahun bertindak menembak suspek dari arah hadapan menggunakan ‘pump gun’.
Katanya, suspek rebah dengan kesan tembakan berhampiran mesin juruwang automatik (ATM) dan polis menemui sebilah parang di pinggang suspek dan botol air mineral yang diisi petrol.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat terkena dua tembakan di bahagian badan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, sebentar tadi.
Thaiveegan berkata, siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengenalpasti punca kejadian dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan.
Mayat suspek dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.- Berita Harian